Tuesday, March 27, 2007

NOTa KRITIKAN

Ciri-ciri Kritikan Sastera

Dalam melaksanakan kerja-kerja kritikan, seseorang kritikawan atau pengkritik tidak terlepas daripada terikat dengan ciri-ciri tertentu yang perlu dilaksanakan, ianya bersesuaian atau selaras dengan kritikan sastera itu sebagai satu disiplin ilmu yang bersifat bersistematik, ciri-cirinya ialah:

i. Sanjungan
ii. Teguran
iii. Saranan
iv. Pendekatan
v. Penganalisaan
vi. Penilaian

i. Sanjungan

Hasil daripada pembacaan terhadap sesebuah karya kreatif, maka akan timbul reaksi atau tindakbalas pembaca terhadap karya itu sendiri. Ianya mungkin bersifat yang positif atau mungkin negatif, perasaan tidak puashati atau merasakan karya yang dibacanya mempunyai kelebihan atau menampakkan kelainan. Hasilnya pengkritik atau pembaca akan melahirkan sanjungan terhadap karya tersebut, sama ada dari aspek isi, teknik persembahan mahupun pengarang yang menulis karya tersebut.

ii. Teguran

Kebiasannya seseorang pengkritik juga akan menegur hasil daripada penelitian yang dibuat berdasarkan sesebuah karya yang dibacanya. Teguran yang diberikan mestilah bersifat membina bukannya bertujuan menghancur atau memperlekeh sesebuah karya sastera.

iii. Saranan

Ianya melibatkan aspek-aspek pembinaan yang lebih ke arah menghasilkan sesebuah karya yang lebih bermutu dan mantap. Yang melibatkan cadangan atau pandangan serta idea-idea berbentuk perubahan. Pengkritik yang jujur, baik biasanya mahu melihat perkembangan kesusasteraan yang lebih mantap selaras dengan matlamat itu biasanya pengkritik akan memberi saranan yang bertanggungjawab, bernas, jitu serta matang dalam memartabatkan dunia sastera.

iv. Pendekatan

Persediaan atau kaedah yang diguna pakai ia juga membawa maksud cara bagaimana mendekati atau menganalisa karya sastera. Kebiasaanya ia melibatkan ilmu-ilmu tertentu sesuai dengan kritikan sebagai satu disiplin ilmu, di antara pendekatan yang diguna pakai dalam ukutara sesebuah kritikan ialah Formalistik, sosiologi, moral Psikologi dan Linguistik.

v. Penganalisaan

Cerakinan yang dibuat terutamanya dalam aspek persolan yang diutarakan oleh sesebuah karya sastera. Pengkritik biasanya akan menggabungjalinkannya dengan aspek sosiobudaya. Di samping itu juga pengkritik mungkin akan membuat pemerincian tentang watak yang terlibat berhubung dengan pelbagai perkara seperti aspek psikologi, nasionalisme dan sebagainya.

vi. Penilaian

Justifikasi atau penghakiman yang dibuat terhadap sesbuah karya sastera setelah dilakukan pengamatan, pentafsiran, penganalisaan, pertimbangan yang wajar serta rasional berpandukan hujah, bukti serta pendapat. Kesinambungannya pula ialah membolehkan seseorang pengkritik meletakkan ukuran dalam
penentuan nilai bagi sesebuah karya sastera sama ada hebat, bermutu,besar sederhana mahupun kecil.


Fungsi Kritikan Sastera

Sebagai satu cabang disiplin ilmu yang bersistematik serta bersifat saintifik, kritikan juga mempunyai tujuan serta fungsi yang tertentu:

i. Proses Berkarya

a. Menentukan status sesebuah karya kreatif sama ada berkualiti atau tidak
b. Memudahkan pengarang melihat ciri-ciri karya kreatif yang bermutu, bagi membantu pengarang menghasilkan karya yang lebih baik
c. Membantu pengarang menepati kehendak pembaca / kelompok pembaca karya kreatif (Memberi keterangan kepada pengarang bagaimana menyesuaikan diri sendiri dengan pembaca)
d. Menepati kiteria-kiteria karya kreatif
e. Menolong pengarang mendidik orang ramai


ii. Penghayatan Karya

a. Memudahkan pembaca menikmati / menghayati sesebuah karya kreatif (kupasan / analisa)
b. Membantu pembaca memilih karya yang berkualiti (menolong membezakan karya yang baik dan yang tidak baik)
c. Membudayakan budaya membaca. (Memberi perangsang dan mendidik orang ramai supaya lebih giat membaca)
d. Memperkenalkan buku-buku baru kepada orang yang tidak sempat membacanya


iii. Dunia Kritikan

a. Memperkembang serta menyebarluaskan ilmu pengetahuan
b. Mempromosi / mempopularkan ilmu kritikan sebagai satu disiplin ilmu yang boleh membantu percambahan pengetahuan
c. Menyedarkan masyarakat tentang realiti sebenar kesusasteraan (Menolong menghapuskan sebarang prasangka yang buruk terhadap sastera)
d. Membantu menjadi jalan tengah di antara pembaca dengan penulis (Membaiki salah faham di antara pengarang dengan pembaca)









Sejarah Ringkas Kritikan Sejarah

Sebelum Perang Dunia 1935 – 1941

Kritikan sastera dalam tahap ini lahir untuk membentuk tradisinya bersama-sama dengan perkembangan penulisan cerpen yang pesat berlaku dalam akhbar dan majalah. Ktirikan yang muncul berlaku secara kecil-kecilan, tidak memiliki nilai yang tinggi serta penilaiannya agak dangkal. Penilaian yang dibuat lebih tertumpu kepada aspek persoalan atau tema karya-karya seperti Sejarah melayu, Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.

Wong Seng Tong dalam kajian ilmiahnya (Ijazah Sarjana Sastera Universiti Malaya) mengatakan bahawa kritikan sastera Melayu bermula dengan tulisan Keris Melayu atau nama sebenarnya Muhammad Yassin Makmur pada tahun 1935. Walau bagaimanapun beliau tidak mengiktirafnya sebagai kritikan yang sebenar.
Definisi “Kritikan Sastera” Wong Seng Tong ialah: “berbagai-bagai makalah ringan yang menggambarkan bermacam-macam fikiran dan perasaan terhadap seni sastera daripada para pembaca peminat sastera”.

Kritikan yang lahir kemudiannya , bersifat emosional dan subjektif. kritikan tanpa penggunaan satu-satu dasar atau pendekatan khusus yang bersifat saintifik dan objektif.

Antara tahun 1940 hingga 1941 kritikan yang lahir kebanyakkannya membuat penilaian dalam dua hal yang utama iaitu
i. penilaian menyeluruh dan mendatar terhadap cerpen
ii. penyaranan beberapa sifat cerpen yang baik dan perlu dihasilkan

Penulis-penulis yang terlibat dalam kritikan pada ketika ini terhad bilangannya, mereka bukanlah tokoh pengkritik dalam erti kata yang sebenar. Kebanyakkan yang terlibat terdiri dari kalangan mereka yang bekerja sebagai guru dan juga wartawan.

Di antara tokoh-tokoh pengkritik yang lahir pada era ini ialah Muhammad Yusof Ahmad, Perawan Muar, Ahmad Alkaf, Mahanum Hj. Ahmad dan beberapa orang tokoh yang lain.

Kebanyakkan hasil penulisan mereka ini disiarkan dalam penerbitan sama ada surat khabar ataupun majalah, di antaranya ialah Majalah Guru dan Suratkhabar Majlis.


Ciri-Ciri Kritikan Era 1935-1941

i. Kebanyakan kritikan yang ditulis lebih menekankan aspek pemujaan / memuji tokoh atau penulis s
seperti hasil penulisan Keris Melayu 1935 “Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi”

ii. Kebanyakkan kritikan yang dibuat tidak memperkatakan tentang isi sesebuah karya

iii. Dalam melaksanakan kerja-kerja kritikan, kebanyakkan pengkritik tidak menggunakan dasar atau pendekatan yang khusus.

iv. Penilaian yang dibuat kebanyakannya bersifat dangkal










Era Aminuddin Baki 1949 / ASAS 50

Aminuddin Baki dianggap pelopor atau perintis kritikan era baru yang menjurus ke arah huraian dan penilaian terhadap 2 aspek penting karya sastera iaitu isi dan teknik (bentuk). Walaupun tidak mendalam sudah ada daya kritis dan analisis.

Kritikan yang dibuat oleh beliau turut menimbulkan beberapa pesoalan tentang isi atau tema, tetapi juga permasalahan bagaimana isi itu wajar disampaikan dalam bentuk yang lebih berkesan. Kritikan yang dibuat oleh beliau telah memperlihatkan suatu dasar atau pendekatan yang tertetu iaitu pendekatan bercorak formalistik.

Aminuddin Baki mengkritik novel “Korban Kesucian” karya Keris Mas . Kritikan beliau telah disiarkan dalam akhbar Utusan Zaman keluaran 12 Jun 1949 yang bertajuk “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu”. Beliau menyatakan bahawa temanya adalah soal masyarakat, plotnya seperti sungai mengalir dan dia mempertikai bahasa Keris Mas yang teradun dengan bahasa Inggeris sambil menjelaskan cara-cara sebaiknya memperkenalkan perwatakan.

Perkembangan kritikan lebih ketara apabila tertubuhnya ASAS 50. Wujudnya polemik di antara penulis yang membawa idea serta aliran yang berbeza pada konsep atau fungsi seni itu sendiri telah menyebabkan kritikan semakin berkembang. Tokoh seperti Asraf dengan idea “Seni Untuk Masyarakat” manakala Hamzah pula dengan idea “Seni UNtuk Seni”.

Bagi Asraf karya sastera harus bertunjangkan seni untuk masyarakat, iaitu yang boleh membantu dan membina rakyat. Seperti beliau menyanjung penulis Dewa Asmara melalui cerita “Peristiwa Dinihari” yang memperkatakan tentang kehidupan nelayan.

Bagi Hamzah pula, baginya karya sastera harus memberi kepuasan pada pencipta dan juga pada pembaca.

Mereka berdua adalah merupakan di antara tokoh pengkritik yang ikatakan paling aktif, namun begitu dalam masa yang sama juga terdapat tokoh-tokoh lain seperti Usman Awang, Keris Mas, Abu Zaki Fadhil, A.Samad Said dan Masuri S.N

Kebanyakkan kritikan yang dibuat disampaikan dalam bentuk esei, di samping itu juga terdapat kritikan yang disiarkan di radio dalam bentuk ceramah mahupun diskusi sastera. Kebanyakkannya berkisar kepada permasalahan keunggulan karya sastera. Pengkritik-pengkritik yang lahir pada era ASAS 50 memperlihatkan satu bentuk kritikan yang cenderung kepada suatu ideologi atau pegangan tertentu.

Pada tahun 1952 tertubuhnya Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya , Singapura telah melahirkan lebih ramai pengkritik yang mempunyai kelulusan serta memiliki ilmu kritikan yang jitu. Di antara tokoh-tokoh pengkritik tersebut ialah Baha Zain, Ismail Hussein, Kassim Ahmad, Ali Hj. Ahmad dan sebagainya

Ciri-ciri Kritikan:
i. Mulai memperlihatkan kemajuan serta pengkritik mulai menggunakan pendekatan-pendekatan yang tertentu
ii. Aspek penilaian telah menjadi salah satu ciri penting dalam kritikan
iii. Wujudnya polemik yang berpanjangan di antara tokoh-tokoh pengkritik yang masing-masing cuba mempertahankan ideologi tersendiri
iv. Kritikan yang dihasilkan lebih mendapat tempat dan mula tersebarluas menerusi pelbagai media antaranya akhbar, majalah , radio serta majlis-majlis diskusi dan ceramah.

No comments: